Polis Kelantan Sahkan Terima Ancaman Susulan Larangan Rentas Sempadan Secara Haram

20/12/2024 09:38 PM

KOTA BHARU, 20 Dis (Bernama) -- Polis Kelantan mengesahkan menerima pelbagai ancaman susulan penguatkuasaan larangan menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata ancaman itu diterima pihaknya sejurus larangan menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi keluar dan masuk ke negara ini dari Thailand dikuatkuasakan bermula 1 Dis lepas.

Beliau yang tidak memperincikan jenis ancaman berkata pihak polis tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana ia melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Dalam hal ini, ada yang menyokong dan ada yang tidak, namun pelaksanaannya perlu diteruskan demi kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas Program Imarah Masjid Bersama Komuniti di Masjid Raudhatul Muttaqin, Kemumin, di sini hari ini.

Pada November lepas, Mohd Yusoff dilaporkan berkata polis akan menahan individu yang menggunakan laluan pangkalan haram untuk menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand khususnya di sepanjang Sungai Golok bermula bulan ini.

Beliau berkata pihaknya menggunakan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963 untuk menahan rakyat Malaysia yang pergi ke Thailand menggunakan jalan tidak diwartakan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan