KPDN Perak Sita Minyak Masak Bersubsidi Disorok Dalam Tong Sampah

21/12/2024 10:50 AM

IPOH, 21 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita kira-kira 13kg minyak masak peket bernilai sekitar RM32.50 daripada sebuah kedai runcit yang didapati cuba menyorok barang bersubsidi itu.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata taktik itu terbongkar menerusi pemeriksaan pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Teluk Intan yang membuat uji beli melalui Ops Samar, kira-kira pukul 11 pagi semalam.

Beliau berkata jurujual di kaunter memaklumkan bahawa minyak masak peket 1 kilogram (kg) telah kehabisan stok semasa uji beli dilakukan, sebelum sepasukan pegawai serta anggota penguat kuasa beruniform masuk ke dalam premis dan melakukan pemeriksaan menyeluruh.

"Pemeriksaan di ruangan dan rak jualan mendapati tiada bekalan minyak masak peket ditemukan, namun pemeriksaan lanjutan terhadap stor milik premis membawa kepada penemuan minyak masak peket 1kg dianggarkan 13kg disimpan di dalam sebuah tong sampah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata berikutan penemuan itu, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada penyelia premis terbabit, dan minyak masak berkenaan disita di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan