Hanyut Enam Hari, Nelayan Hanya Fikir Mati

23/12/2024 12:11 PM

GEORGE TOWN, 23 Dis (Bernama) -- Dua nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Kerachut, Kuala Sungai Pinang dekat sini Isnin lepas yang ditemukan selamat di perairan Acheh, Indonesia semalam hanya memikirkan akan mati apabila bot mereka dihanyutkan ombak besar.

Namun Muhammad Ikmal Hakimi Ismail, 22, dan Nor Hasrul Abdullah, 25, terus tawakal dan berdoa agar selamat selama enam hari berada di lautan terutama laut dalam hingga ke perairan.

Menceritakan detik mereka dihanyutkan dalam bot nelayan itu, Muhammad Ikmal Hakimi berkata mereka keluar ke laut 3 petang Isnin dan semasa mahu hidupkan enjin bot ketika sedang memukat ikan, tiba-tiba tali enjin bot rosak sebelum terus tidak hidup dalam masa sama ombak serta ribut semakin kuat.

Beliau terus menghubungi majikannya yang juga pemilik bot berkenaan bagi meminta bantuan sebelum dimaklumkan akan menghantar orang membantu mereka, namun sehingga 12 tengah malam tiada bantuan tiba.

"Waktu itu ombak dan ribut masih kuat dan dalam masa sama, bot telah hanyut dibawa arus ombak dan saya  menghubungi keluarga untuk maklumkan kejadian itu serta terus menunggu bantuan tiba.

"Tetapi sampai ke sudah tiada sesiapa datang, waktu itu kami cuba menjerit meminta bantuan dan memberi isyarat menggunakan lampu picit tetapi tiada sesiapa menyedarinya dan telefon bimbit pula telah habis bateri,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari Acheh di Jeti Limbongan Batu Maung dekat sini.

Muhammad Ikmal Hakimi berkata mereka tidak dapat menghubungi sesiapa untuk meminta pertolongan tetapi masih lagi berfikir akan selamat kerana masih nampak kawasan bukit di Teluk Bahang. 

Bercerita lanjut, beliau berkata selalunya mereka turun ke laut sekitar empat jam dan semasa kejadian mereka membawa bekalan nasi, namun telah habis dimakan pada hari pertama manakala hari kedua tidak makan dan hanya minum air laut sahaja.

Memasuki hari ketiga, mereka berdua mula makan ikan mentah yang ditangkap bagi menghilangkan rasa lapar dan beberapa kali muntah berikutan tidak pernah makan seperti itu, namun terpaksa juga berbuat demikian kerana bimbang tiada tenaga jika tidak makan.

"Masuk hari ketiga kami sudah tidak nampak bukit di daratan dan saya dengan abang (Nor) Hasrul mula bergaduh antara satu sama lain sehingga beberapa kali jatuh ke dalam laut kerana tertekan, tetapi Alhamdulillah kami masih selamat sebab pakai jaket keselamatan dan waktu tu hanya fikirkan akan mati sahaja.

"Kami juga hanya mampu tawakal sahaja dan apabila sekali lagi dilanda ribut serta hujan lebat saya dan abang Hasrul berlindung di bawah pukat sebab takut dan air mula masuk ke dalam bot jadi kami terpaksa membuang pukat bagi mengimbangi bot serta mengelakkan bot karam," katanya.

Muhammad Ikmal berkata penantian dan detik mencemaskan mereka berakhir pada hari keenam apabila diselamatkan oleh nelayan tempatan dari Acheh yang terlihat bot mereka terumbang-ambing di tengah laut sebelum menghulurkan bantuan termasuk makanan serta minuman.

Beliau yang baru dua minggu turun ke laut menangkap ikan berkata memang niat mahu meneruskan kerja sebagai nelayan, bagaimanapun buat masa sekarang beliau akan mengikut nasihat ibunya Hanita Ismail, 47, untuk kembali bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) seperti sebelum ini.

Dalam pada itu, Nor Hasrul berkata kejadian itu meninggalkan trauma mendalam kepada mereka namun masih bersemangat untuk meneruskan kerja sebagai nelayan kerana telah mula turun ke laut sejak setahun enam bulan.

"Kejadian ini pengalaman pertama bagi kami, walaupun ombak besar biasa kami hadapi, tetapi tidak pernah seteruk ini. Kami akan lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

Terdahulu suasana sedih dan gembira menyelubungi bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang yang membawa balik dua lelaki itu dari Acheh apabila ibu bapa dan ahli keluarga mereka yang menunggu dapat berjumpa serta memeluk kedua-dua mangsa.

Pada Sabtu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan berkenaan dihentikan pada 5 petang selepas tiada sebarang petunjuk ditemukan untuk mengesan mereka selepas pasukan keselamatan menjalankan operasi SAR selama lima hari meliputi kawasan seluas 4,802 batu nautika atau 8,884 kilometer persegi, namun gagal menemukan kedua-dua mangsa dan bot mereka.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan