ALOR SETAR, 23 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah menerima sebanyak 137 aduan berkaitan minyak masak peket sepanjang tahun ini.
Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata daripada jumlah itu, lapan kes diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala enam kes lagi mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya antara aduan tersebut adalah peniaga yang menyorok minyak masak bersubsidi tersebut selain menaikan harga.
“Kepada peniaga-peniaga, janganlah sorok bekalan terutama minyak masak peket dan barangan lain dan jika dapati ia berlaku, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2024 peringkat Kedah di sini, hari ini.
Beliau berkata walaupun bilangan petugas terhad, mereka tetap ada di pelbagai lokasi strategik, dengan menggunakan taktik penyamaran untuk membanteras aktiviti perniagaan yang manipulatif, termasuk penipuan dalam talian dan pakatan kartel.
Muhammad Nizam berkata, secara keseluruhanya KPDN Kedah menerima 1,693 aduan tahun ini dan 228 aduan daripadanya juga berkaitan barangan kawalan lain.
Sementara itu, beliau berkata sembilan jenis barangan dikawal menerusi SHMPP Krismas 2024 merangkumi daging kambing biri-biri bertulang import, kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk Kubis Beijing).
Selain itu, turut dikawal harga adalah lobak merah, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah besar import, bawang kuning besar dan ubi kentang import (China).
“Peniaga diingatkan mematuhi harga-harga ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya, sekiranya gagal tindakan tegas akan diambil,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial