Taktik Bungkus Dadah Guna Plastik Menyerupai Wang Kertas Tumpas

23/12/2024 05:36 PM

JOHOR BAHRU, 23 Dis (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket pengedaran dadah yang menggunakan pembungkus plastik menyerupai wang kertas untuk mengelirukan pihak berkuasa, dengan penangkapan dua lelaki tempatan pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata kedua-dua lelaki berumur 33 dan 40 tahun itu ditahan menerusi tiga serbuan di sekitar bandar raya berkenaan. 

“Modus operandi yang digunakan sindiket adalah dengan menjadikan rumah sewa dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan semula dadah sebelum diedar ke pasaran sekitar Johor Bahru. 

“Sindiket ini telah beroperasi sejak Oktober lepas. Mereka dikesan membungkus semula dadah dalam bungkusan berbentuk wang kertas yang apabila dilihat di kelab malam, tidak dijangka itu adalah dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, di sini hari ini. 

Beliau berkata dalam tiga serbuan itu, sebanyak 1,246.5 gram (g) serbuk ekstasi; 25.1g pil erimin 5 dan 3.8g ketamin dirampas dengan nilai berjumlah RM210,721.60. 

Raub berkata polis turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi, serangkai kunci dan wang tunai RM120 dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM235,841.60.

Beliau berkata hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan ketamin, manakala hasil semakan rekod mendapati mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

“Kedua-dua suspek itu direman bermula semalam sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan