Kerani Bank Rugi Lebih RM100,000 Terpedaya 'phone scam'

23/12/2024 04:54 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Dis (Bernama) -- Seorang kerani bank kerugian RM115,950 selepas terpedaya sindiket penipuan melalui telefon atau 'phone scam' yang menyamar sebagai polis dan pendakwa raya.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 8 Sept lepas, wanita berusia 41 tahun itu telah dihubungi suspek yang memperkenalkan diri sebagai petugas syarikat insurans dan mendakwanya mempunyai tiga tuntutan insurans.

Azli berkata panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada beberapa suspek lain yang menyamar sebagai polis dan pendakwa raya yang menyatakan mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram.

"Mangsa menafikan ada membuat tiga tuntutan insurans dan penggubahan wang haram seperti yang dikatakan.

"Untuk mengelak didakwa, mangsa diarahkan supaya membuka akaun bank bagi tujuan siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.          

Azmi berkata mangsa yang berasal dari Bukit Payong, Marang telah membuat enam transaksi berjumlah RM115,950 dalam tempoh 19 Sept hingga 30 Nov ke tiga akaun berbeza.

Bagaimanapun mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang semalam.

Beliau berkata sumber kewangan mangsa adalah daripada wang simpanan dan kad kredit.            

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan