KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Polis menahan enam lagi individu dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan melibatkan dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bandar Tasik Selatan, Jumaat lepas.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata suspek berumur lingkungan 20 hingga 24 tahun itu ditahan pada petang Selasa di sekitar ibu negara, dan direman selama sehari bermula semalam.
Beliau berkata keenam-enam suspek itu dibebaskan hari ini setelah diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
“Siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, namun laporan masih perlu dilengkapkan sebelum keputusan dibuat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Rusdi berkata dua lagi suspek berumur 22 dan 24 tahun yang direman pada Selasa lepas turut dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Pada 21 Dis, polis mengesan satu video tular memaparkan kejadian pergaduhan antara dua kumpulan penyokong bola sepak di Stesen LRT Bandar Tasik Selatan, laluan Ampang-Sri Petaling.
Insiden pergaduhan itu melibatkan antara 20 hingga 30 orang yang bertindak agresif dengan bertumbuk, membaling tong sampah serta menendang pintu tren hingga mengakibatkan kerosakan yang menyebabkan pihak Prasarana Malaysia Berhad membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial