Pensyarah, Penuntut UM Antara Tujuh Individu Dirakam Keterangan Kes Kematian Kucing

26/12/2024 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Pensyarah, penuntut Universiti Malaya (UM) dan seorang aktivis haiwan antara tujuh individu yang dirakam keterangan berhubung kes kematian kucing di universiti itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata bangkai kucing yang ditemui pada 21 Dis itu telah diserahkan oleh aktivis berkenaan kepada pihak polis dan dihantar ke makmal veterinar untuk pemeriksaan serta proses bedah siasat.

“Proses bedah siasat bangkai kucing itu akan dijalankan esok. Turut dihantar untuk pemeriksaan dan bedah siasat adalah bangkai kucing yang ditemui pada 25 Dis di tempat letak kereta Fakulti Sukan dan Sains Eksesais UM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Kelab Kucing Malaysia meminta siasatan terhadap kes kematian kucing di UM dijalankan secara terperinci.

Presidennya Khalid Rashid dilaporkan berkata pihaknya bukan mempersoalkan siasatan yang dijalankan pihak berkuasa namun berharap kes berkenaan diteliti semula dengan bantuan daripada pakar.

Pada 22 Dis, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan terlibat, polis mendapati terdapat sekumpulan anjing liar yang telah bertindak menyerang kucing tersebut.

Polis turut merujuk perkara itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pengesahan kecederaan yang dialami ke atas kematian kucing terbabit adalah disebabkan serangan anjing liar.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan