Love Scam: Dua Warga Nigeria Didakwa

27/12/2024 03:57 PM

PUTRAJAYA, 27 Dis (Bernama) -- Dua warga Nigeria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan melakukan jenayah penipuan dalam talian melalui kaedah 'love scam'.

Tertuduh, Omigie Progress Omor, 28 dan Chidinma Ukachukwu, 23, membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Ain Nurshahira Sahzan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 424A Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK, kerana memiliki dan mengawal akaun bank milik orang lain. 

Kedua-dua tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amalina Johar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes untuk serahan dokumen ditetapkan 3 Feb depan.

Sementara itu, seorang wanita tempatan, Normaizatulakmal Mamat, 38 yang diperdaya untuk menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akses perbankan kepada orang lain, mengaku bersalah kerana menjadi keldai akaun bagi tujuan penipuan dalam talian.

Tertuduh didenda RM250 dan sekiranya gagal membayar akan dipenjarakan tiga hari.

Pada pertengahan Disember ini, dua warganegara Nigeria ditangkap di sekatan jalan raya di Nilai, Negeri Sembilan kerana memiliki kad ATM milik orang lain. 

Susulan tangkapan itu, Bahagian Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya telah membuat tangkapan susulan terhadap seorang wanita warga tempatan yang merupakan pemilik kad ATM tersebut. 

Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan telah menyerahkan kad ATM miliknya kepada pihak ketiga. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan