Cederakan Junior UPNM: Mahkamah Tetap 4 Feb Sebagai Tarikh Sebutan Kes

27/12/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 4 Feb tahun hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang didakwa mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.

Hakim Egusra Ali menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen tambahan kes kepada pihak pembelaan.

Amirul Iskandar Norhanizan, 22, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas di ALK UPNM, Sungai Besi pada 11.45 malam, 22 Okt.

Amirul Iskandar yang kini diwakili peguam Ramkarpal Singh dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ramkarpal ketika ditemui pemberita berkata pihaknya masih belum menerima arahan daripada anak guam sama ada akan menyerahkan representasi atau sebaliknya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan