IPOH, 27 Dis (Bernama) -- Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) mengecam keras insiden kekejaman haiwan di Ladang Malaya, Selama pada 22 Dis lepas, yang menyaksikan seekor anjing mati akibat dipanah.
SAFM dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya berkata anjing dinamakan Kutty telah diserang dengan anak panah oleh seorang pekerja hanya kerana memasuki satu lorong tertentu.
"Kutty mengalami kecederaan parah dan akhirnya mati akibat tindakan kejam ini. Tindakan kejam seperti ini sama sekali tidak boleh dibiarkan dan mencabar prinsip asas kemanusiaan. Tindakan pantas dan tegas mesti diambil untuk menjamin keadilan terlaksana sepenuhnya," menurut kenyataan berkenaan.
SAFM berkata kejadian itu jelas melanggar undang-undang di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan persatuan itu menyeru mana-mana saksi kejadian supaya tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Persatuan itu turut menggesa polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar JPV untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes ini, menuntut penguatkuasaan penuh Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman berat iaitu denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali kepada mereka yang disabit kesalahan.
SAFM berkata kekejaman terhadap haiwan masih berleluasa walaupun pelbagai kempen kesedaran dijalankan, yang berpunca daripada kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang, seterusnya membolehkan pesalah terlepas daripada tindakan undang-undang.
"Sudah tiba masanya untuk memperkukuhkan undang-undang serta memastikan penguatkuasaan yang lebih tegas dan berkesan," menurut SAFM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial