KUALA SELANGOR, 24 Dis (Bernama) -- Seorang guru taska hari ini menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia 11 bulan, Disember lepas.
Nur Shuhada Saharudin, 24, memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Nurul Mardhiah menetapkan 4 Feb sebagai sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Elyza Amira Habeeb Rahman manakala tertuduh diwakili peguam Harnidawati Awangku Ibrahim.
Pada 20 Dis lepas, Nur Shuhadah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Klang yang membuat keputusan menetapkan hari ini sebagai tarikh jatuh hukuman selepas tertuduh mengaku bersalah.
Mengikut pertuduhan, Nur Suhadah didakwa menganiaya mangsa dengan mencubit pipi dan telinga sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di sebuah taska di Puncak Alam pada 6.15 petang, 13 Dis.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial