Mayat Lelaki Ditemukan Dalam But Kereta, Polis Tahan Dua Suspek

29/12/2024 05:44 PM

MERSING, 29 Dis (Bernama) -- Polis menahan dua individu bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat seorang lelaki tempatan di dalam but sebuah kereta di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata mayat lelaki berumur 28 tahun itu, ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian di dalam kereta jenis Proton Waja berwarna hitam miliknya dengan kesan kecederaan di leher.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan kereta itu dalam semak di tepi jalan berkenaan pada 1.50 tengah hari, sebelum bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.

“Bertindak atas maklumat risikan, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan telah berjaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki dan seorang wanita tempatan yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, pada 4.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek berusia 33 dan 35 tahun itu, ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, kerana kesalahan membunuh.

“Susulan kejayaan tangkapan ini, kes berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang 24 jam,” katanya.

Terdahulu, tular di laman Facebook mengenai penemuan sebuah kereta Proton Waja berwarna hitam yang dikatakan dihurung lalat di Jalan Kahang-Jemaluang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan