JOHOR BAHRU, 1 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga tempatan serta seorang wanita warga Singapura selepas dikejar bermula dari Jalan Tampoi Taman Seri Bahagia dekat sini hingga ke kawasan Simpang Renggam, Kluang semalam.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dalam insiden yang turut mengakibatkan dua anggota polis cedera itu, pihaknya telah menahan penumpang kereta jenis Perodua Axia iaitu lelaki berusia 49 tahun dan pemandu kereta terbabit iaitu wanita berusia 38 tahun, kira-kira 1.30 pagi.
Beliau berkata insiden berlaku apabila sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, sedang membuat pemantauan Ops Tapis di kawasan Jalan Tampoi dan telah mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Kumar berkata pihaknya bertindak mengekori rapat kereta tersebut sehingga ke jalan persiaran Alif Harmoni.
“Ketika pasukan serbuan cuba menghampiri kereta suspek untuk membuat pemeriksaan, secara tiba-tiba kereta tersebut terus dipandu secara merbahaya sehingga merempuh dua anggota polis, yang mengakibatkan kedua-duanya terjatuh dan mengalami luka di bahagian tangan.
“Arahan untuk memberhentikan kereta telah diberikan kepada suspek, namun suspek bertindak memandu secara laju menghala ke arah Lebuhraya Pasir Gudang.
“Pasukan serbuan telah mengejar kereta suspek yang melalui Lebuhraya Pesisir Pantai Iskandar dan Lebuhraya Link Kedua dan ketika dikejar, suspek bertindak merempuh palang tol di kawasan Plaza Tol Senai Utara, sebelum memasuki Lebuhraya Utara-Selatan (menghala ke utara),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata kereta peronda polis (MPV) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai dan Kluang digerakkan untuk bantuan dan kenderaan suspek ditahan di Simpang Renggam, Kluang kira-kira pukul 1.30 pagi.
Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan pihaknya menemukan beberapa bungkusan plastik disyaki dadah berbahaya di dalam kereta tersebut dan bertindak atas maklumat tangkapan itu, polis melakukan dua lagi serbuan berasingan di Johor Bahru dan merampas pelbagai jenis bahan disyaki dadah.
“Dalam operasi ini, polis merampas pelbagai jenis dadah termasuk ganja, syabu, serbuk ekstasi, heroin dan pil nitrazepam dengan anggaran nilai keseluruhan RM54,831.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan hasil semakan rekod lampau lelaki warga tempatan didapati mempunyai pelbagai rekod dadah, jenayah serta satu rekod dikehendaki,” katanya.
Kumar berkata, kedua-dua suspek direman enam hari bermula 31 Dis hingga 5 Jan 2025.
Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu mencuba membunuh.
“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial