JOHOR BAHRU, 30 Dis (Bernama) -- Seorang pekerja kedai makan dihukum penjara 10 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memandu secara melulu dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain, Jumaat lepas.
Muhammad Syafiq Jefri, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohammad Izham Mohd Aliyas.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda selain lesen memandu diendors oleh mahkamah, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dan pembatalan lesen percubaan, jika ada.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi melawan arus serta tidak berhenti di lampu isyarat merah dan persimpangan di Jalan Lingkaran Dalam, di sini pada kira-kira 3.45 pagi, 27 Dis.
Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) yang boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000, jika sabit kesalahan.
Jika sabitan kedua, tertuduh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama 10 tahun dan jika memiliki lesen percubaan, lesen akan dibatalkan oleh mahkamah.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor Insp S. Vikineswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial