Dua Rakan Termasuk OKU, Mengaku Tidak Bersalah Rompak 160 Bungkusan Barang Kemas

30/12/2024 06:39 PM

BUTTERWORTH, 30 Dis (Bernama) -- Dua lelaki termasuk seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan 160 bungkusan barang kemas secara berkumpulan, tiga minggu lepas.

Tertuduh Muhammad Zaim Goh Abdullah, 42, dan Mah Cheow Chuen, 43 yang kudung tangan kanan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Hakim Nurzafirah Mohamed Ali.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama seorang lelaki yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun dengan merompak dua guni mengandungi 160 bungkusan barang kemas.

Tertuduh yang menggunakan sebilah parang semasa rompakan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan sebuah premis di Bagan Ajam pada pukul 7.35 petang, 12 Dis lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Nadia Jamal manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurul Nadia tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan kesalahan berkenaan tidak dibenarkan ikat jamin.

Bagaimanapun, dalam rayuan Muhammad Zaim Goh yang bekerja sebagai tukang besi memberitahu dia perlu menyara isteri serta kedua-dua ibu bapanya yang kini memerlukan rawatan dialisis, manakala Mah pula mempunyai tanggungan isteri, lima anak serta ibunya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing RM8,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 15 Jan depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, Majistret Siti Zulaikha Nordin @ Ghani menjatuhkan hukuman denda RM3,000 dan jika gagal bayar hendaklah menjalani hukuman penjara lima bulan terhadap setiap tertuduh itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki harta curi. 

Mengikut pertuduhan terhadap Muhammad Zaim Goh, dia didakwa memiliki harta curi berupa sebuah komputer riba dan satu unit vape kepunyaan seorang lelaki berusia 35 tahun di Jalan Perwira, Permatang Tinggi, pada 12.50 tengah hari, 17 Dis lepas.

Sementara, Mah didakwa memiliki harta curi iaitu sebuah peranti mudah alih (attn subs: Samsung Tab), satu unit speaker dan tujuh unit vape pelbagai jenama kepunyaan lelaki yang sama di Persiaran Seksyen 6/36, Bandar Putra Bertam, pada 2.20 petang, 17 Dis lalu.

Kesalahan-kesalahan tersebut dikemukakan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreena Zainurin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan