Imigresen Tahan 17 ‘Ulat’ Parkir Warga Asing Di Bukit Bintang

30/12/2024 11:43 PM

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur melumpuhkan satu sindiket parkir haram yang beroperasi di sekitar Bukit Bintang dengan penahanan 17 lelaki warga asing dalam satu operasi yang dilakukan tengah hari tadi.

Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff dalam kenyataan memaklumkan, serbuan dijalankan pada 1 tengah hari dengan disertai enam pegawai dan anggota Unit Operasi Khas JIM Kuala Lumpur.

Beliau berkata hasil operasi hampir sejam itu, JIM menahan 17 lelaki warga asing yang berumur dalam lingkungan 30-an yang dipercayai mengutip wang parkir secara haram di dua lokasi di Bukit Bintang.

“Di lokasi pertama, JIM menahan dua lelaki Bangladesh dan sembilan lelaki Myanmar, manakala di lokasi kedua seramai enam lelaki Myanmar telah ditahan,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Beliau berkata operasi itu dilakukan kurang daripada 24 jam selepas pihaknya mengesan satu video berdurasi 1 minit 39 saat yang dimuat naik oleh akaun ‘SKUAD 4NTI PATI’ di Facebook, yang memaparkan beberapa warga asing menjadi ‘ulat’ parkir di lokasi serbuan.

Wan Mohammed Saupee pada masa yang sama berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti sedemikian supaya dapat menyalurkan maklumat kepada JIM untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan