Lelaki Warga Emas Ditahan Disyaki Terbabit Kes Langgar Lari

31/12/2024 08:58 PM

IPOH, 31 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan kemalangan maut di KM0.6 Jalan Wan Razali, Selama pada Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Selama Supt Sarudin Samah berkata lelaki berusia 76 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 28A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Bagaimanapun, lelaki itu diberi jaminan polis atas sebab lanjut usia dan masalah kesihatan. Kes telah dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan pada 9.35 pagi Ahad melibatkan wanita berusia 45 tahun yang terjatuh atas jalan raya hingga tidak sedarkan diri selepas motosikal ditunggangnya terbabas.   

Wanita berkenaan kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian.

Sarudin berkata polis telah menjalankan siasatan lanjut dan mendapati terdapat kesan cat kenderaan asing pada motosikal mangsa, susulan itu, polis percaya terdapat kenderaan lain terlibat dalam kemalangan itu. 

"Hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup di premis kawasan kejadian mendapati sebuah kereta Perodua Viva telah menghimpit motosikal mangsa ketika memotong menyebabkannya terjatuh. Suspek bertindak meninggalkan tempat kemalangan tanpa membuat laporan polis," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan