PGA Rampas 8kg Ganja Bernilai RM400,000 Di Sempadan Malaysia-Thailand

01/01/2025 04:28 PM

PADANG BESAR, 1 Jan (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas dadah jenis ganja seberat lapan kilogram bernilai RM400,000 dalam satu operasi berhampiran Pos TS13, Jalan Keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand semalam.

Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata pasukan risikan yang bertugas menaiki kenderaan, mengesan cahaya lampu suluh dari arah tembok sempadan Malaysia-Thailand kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

“Pasukan risikan mendekati kawasan berkenaan dan memberi amaran dengan jeritan ‘polis’, kedua-dua suspek lelaki itu melarikan diri dengan memanjat tembok sempadan ke arah Thailand,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Shahrum berkata hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg galas hitam di tepi tembok sempadan dan pemeriksaan lanjut mendapati beg itu mengandungi sembilan ketulan mampat dadah disyaki ganja, serta pakaian suspek.

Beliau berkata dadah itu dipercayai untuk diedarkan ke pasaran di sekitar Perlis dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti sindiket penyeludupan di kawasan daerah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrum berkata nilai rampasan dadah oleh PGA di Perlis mencatatkan penurunan pada tahun 2024, dengan jumlah keseluruhan RM455,900 melibatkan empat kes berbanding RM1,504,460 pada tahun 2023 (lima kes).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan