MIRI, 3 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun ditahan dalam serbuan sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 12 PGA Miri ke sebuah premis pada 10 pagi semalam kerana memiliki 81,294 kilogram (kg) makanan sejuk beku dipercayai tanpa import permit sah.
Kesalahan tersebut adalah melanggar Seksyen 9 (1)(3) Ordinance Kesihatan Awam Veterinar 1999.
Suspek ditahan selepas pasukan polis menemui sebanyak 81,294 kg makanan sejuk beku yang disimpan dalam premis tersebut dan disyaki tidak memiliki permit import yang sah.
Komander Pasukan Gerakan Am Briged Sarawak SAC Che Ghazali Che Awang dalam satu kenyataan berkata jumlah keseluruhan makanan sejuk beku tersebut dianggarkan bernilai RM 3,200,000.
“Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kejayaan sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu pada sekitar 1.30 tengah hari yang sama di Sibu.
Pasukan tersebut berjaya melaksanakan serbuan ke atas sebuah premis yang disyaki digunakan untuk menyimpan mercun dan bunga api.
Tiga lelaki tempatan berusia antara 26 dan 39 tahun ditahan, dan hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menyimpan sebanyak 730 kotak mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM3,100,000.
Tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Operasi Taring Bravo 3 dan Operasi Taring Charlie yang dilaksanakan mulai 1 Jan hingga hari ini turut menyaksikan Briged Sarawak merampas dua kenderaan pelbagai jenis dari suspek yang terlibat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial