Dua Lelaki Mabuk Antara Tiga Ditahan Dalam Operasi Penguatkuasaan

01/01/2025 11:02 PM

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Dua lelaki yang memandu dalam keadaan mabuk antara tiga individu ditahan dalam operasi penguatkuasaan sempena Sambutan Tahun Baharu 2025 yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula 9.30 malam, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata masing-masing yang berusia 30 dan 40 tahun ditahan atas kesalahan memandu kenderaan bermotor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 manakala seorang lagi bagi kesalahan waran tangkap berkaitan saman.

“Kedua-dua lelaki itu dibawa ke IPD Ampang Jaya dan seterusnya menjalani ujian nafas menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II). Hasil ujian menunjukkan kandungan alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan iaitu 50/100ml sahaja had dibenarkan.

“Merujuk kepada APJ 1987, individu didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen itu boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 selain lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi itu juga,  Mohd Azam berkata sebanyak 193 individu dan 193 kenderaan diperiksa dengan 208 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya ubah suai ekzos, tiada lesen memandu, lesen tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta tiada cermin sisi.

“Saman atas kesalahan tiada lesen memandu paling banyak dikeluarkan iaitu 63. Ini jelas menunjukkan kebanyakan pemandu mengambil mudah dengan memandu kenderaan tanpa memiliki lesen memandu yang sah.

“Sebanyak 36 kenderaan turut disita di bawah Seksyen 64(1) dan Seksyen 6(4) APJ 1987 kerana kesalahan pengubahsuaian pada struktur ekzos selain kenderaan dipandu oleh warganegara asing. Kenderaan itu dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan