Mukhriz Dapat Kebenaran Cabar Taksiran Cukai Tambahan LHDN Lebih RM5 Juta

02/01/2025 01:58 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memberi kebenaran kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membatalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan kepadanya, melibatkan lebih RM5 juta bagi tahun 2017 hingga 2019.

Hakim Datuk Amarjeet Singh turut membenarkan permohonan Mukhriz selaku pemohon untuk menggantung sementara pembayaran wang RM5 juta itu, sementara menunggu pendengaran penangguhan pada 16 April depan.

Amarjeet membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat isu yang boleh dibicarakan dalam kes tersebut.

Prosiding hari ini dihadiri peguam Nizamuddin Abdul Hamid, mewakili Mukhriz dan Peguam Kanan Persekutuan Wan Shahida Wan Omar, yang bertindak bagi ketiga-tiga responden.

Pada 20 Dis lepas, Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan tindakan responden pertama itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah. 

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga memohon deklarasi bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga memohon deklarasi bahawa responden kedua (Anwar) telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan memohon deklarasi responden kedua telah menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan responden pertama mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Turut dipohon satu perintah penggantungan terhadap Notis Taksiran Tambahan berkenaan dan penguatkuasaan sijil sehingga pelupusan permohonan semakan kehakiman itu.

Mukhriz memfailkan permohonan itu atas alasan responden pertama telah membuat suatu anggapan yang salah dalam mengambil kira perbelanjaan tanpa penjelasan pemohon sebagai jumlah pendapatan lain-lain beliau.

Dakwa pemohon, responden pertama secara salah dan melulu, mengambil kira pelupusan saham pemohon di OPCOM Holdings Berhad dan penerimaan dividen daripada M Ocean Capital Sdn Bhd sebagai perbelanjaan yang boleh dicukai, sedangkan pelupusan saham pemohon di OPCOM dan penerimaan dividen daripada M Ocean merupakan pendapatan yang tidak boleh dicukai. 

Mukhriz berkata tindakan responden pertama yang mengambil kira pendapatan tidak boleh dicukai sebagai pendapatan boleh dicukai merupakan suatu layanan tidak adil dan tidak sama rata kerana berdasarkan kenyataan responden pertama sendiri, penerimaan dividen daripada saham dan hasil penjualan saham adalah dikira sebagai pendapatan tidak boleh dicukai. 

Menurut Mukhriz, Notis Taksiran Tambahan bagi tahun 2017 dan 2018 telah dikeluarkan lebih daripada lima tahun daripada garis masa pemfailan borang-borang cukai pendapatan bagi tahun berkenaan dan merujuk kepada Seksyen 91 (1) ACP, apa-apa notis taksiran tambahan di bawah seksyen tersebut hanya boleh dikeluarkan selepas lima tahun jika wujudnya situasi di mana seorang pembayar cukai telah melakukan penipuan, kelalaian sengaja atau kecuaian. 

Namun, pemohon berkata responden pertama tidak pernah menyatakan sama ada pemohon telah cuai atau melakukan penipuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan