Lelaki Ditahan Cuba Seludup Keluar Petrol Di Perairan Tawau

06/01/2025 05:51 PM

TAWAU, 6 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang lelaki tempatan di perairan 1.7 batu nautika selatan Batu 3 di sini Sabtu lepas kerana membawa 10 gelen petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata suspek berusia 24 tahun itu ditahan menerusi Op Pluto Timur dan Op Tiris pada 9.55 malam, selepas bot dinaikinya dikesan dalam mencurigakan.

"Pemeriksaan pada bot menemukan 10 gelen petrol dan lelaki itu gagal menunjukkan sebarang permit kebenaran membawa barang bersubsidi terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kedudukan perairan Tawau yang berada di garisan persempadanan antara Malaysia dan Indonesia menjadi cabaran utama penguat kuasa dalam menangani kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Kita tidak menolak kemungkinan wujud orang tengah yang menjalankan aktiviti membawa barang kawalan dalam kuantiti kecil namun secara berulang ke negara jiran. APMM akan terus melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani penyeludupan barang kawalan atau subsidi," katanya.

Shahrizan berkata pihaknya merekodkan 108 kes tangkapan membabitkan  RM12.2 juta nilai rampasan tahun lepas dengan 9,187 pemeriksaan vesel dilaksanakan di perairan di sini.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan