Pemilik Syarikat Penyelenggaraan Didakwa Kemuka Dokumen Palsu eFEiS

08/01/2025 02:40 PM

TELUK INTAN, 8 Jan (Bernama) -- Seorang pemilik syarikat penyelenggaraan alat pemadam api mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu melibatkan sijil Elctronic Fire Extinguisher Inspection System (eFEiS) pada Disember lepas.

Sha Arifin Mohammad Jamal, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.

Mengikut tiga pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulen tiga dokumen mengandungi nombor siri berbeza iaitu sijil eFEiS alat pemadam api dengan tertuduh mempunyai sebab bahawa dokumen itu adalah palsu.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah restoran di Lorong Lagenda 8, Medaniaga Lagenda di Hutan Melintang kira-kira 3.42 petang pada 31 Dis 2024.

Bagi pertuduhan keempat, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan sama di pusat hiburan di Lorong Lagenda 1, Medaniaga Lagenda di Hutan Melintang kira-kira 1.45 petang pada tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Izzuddin Fakri Hamdan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi tiga pertuduhan manakala pertuduhan keempat RM6,000.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M Saravanan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan dengan alasan jumlah jaminan ditawarkan adalah di luar kemampuan kerana tertuduh mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak. 

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM7,500 dan RM2,500, masing-masing dengan seorang penjamin serta menetapkan 12 Feb sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Semalam, media melaporkan pihak polis menahan 10 individu termasuk seorang wanita dalam serbuan berasingan di Bagan Datuk, di sini dan Cheras, Kuala Lumpur kerana disyaki terbabit dengan sindiket penipuan khidmat penyelenggaraan alat pemadam api.

Kesemua suspek yang berusia 21 hingga 35 tahun itu ditahan pada 1, 4 dan 5 Jan lepas serta polis turut merampas 89 alat pemadam api, empat telefon bimbit, tujuh pelekat eFEiS, tiga kenderaan serta dua sijil kontraktor palsu.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan