Wujud Unsur Kecuaian Pengasuh Taska, Tinggal Bayi Tanpa Pemantauan - Polis

11/01/2025 03:04 PM

SHAH ALAM, 11 Jan (Bernama) -- Terdapat unsur kecuaian atau pengabaian oleh pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) berhubung kes kematian bayi lelaki berusia empat bulan, 3 Jan lepas.  

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Akmalrizal Radzi berkata siasatan awal mendapati kecuaian atau pengabaian pengasuh adalah meninggalkan mangsa tanpa pemantauan sewajarnya dalam tempoh yang lama. 

"Siasatan masih berjalan dan setakat ini enam keterangan telah diambil termasuk daripada suspek iaitu pengasuh. Kita juga dalam proses untuk melakukan tangkapan terhadap suspek

“Polis juga masih menunggu keputusan makmal bagi mengetahui punca sebenar kematian bayi berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kertas siasatan telah dirujuk ke Bahagian D5 (Pendakwaan/Undang-Undang) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor susulan terdapat beberapa arahan yang perlu diambil sebelum ia dikemukakan ke pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, Mohd Akmalrizal dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang doktor di sebuah klinik di Bandar Saujana Putra di Kuala Langat pada 3.29 petang, 3 Jan lepas mengenai seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri telah dibawa oleh pengasuh taska ke klinik terbabit.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim sebelum ini dilaporkan berkata taska yang dipercayai terbabit dalam kes kematian bayi itu telah diarahkan tutup pada Selasa lepas (7 Jan). 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan