Pengurus Akaun Badan Berkanun Di Perlis Dilepaskan Dengan Jaminan SPRM

14/01/2025 11:57 AM

KANGAR, 14 Jan (Bernama) -- Seorang pengurus akaun sebuah badan berkanun yang direman bagi membantu siasatan kes menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng wang kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi dilepaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM wanita berumur lingkungan 30-an itu dilepaskan berikutan perintah reman berakhir hari ini namun pihak SPRM masih meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan.

“Wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM, dan kes ini masih dalam siasatan, setelah siasatan selesai, ia akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk pertimbangan, sama ada dipertuduhkan di mahkamah ataupun tidak bergantung kepada hasil siasatan,” menurut sumber itu.

Sumber itu memaklumkan pada masa ini tiada tangkapan baharu berkaitan kes berkenaan.

Pada 8 Jan, media melaporkan SPRM menahan dua petugas wanita sebuah badan berkanun di Perlis termasuk seorang pengurus akaun selepas mereka disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng wang kira-kira RM600,000 untuk kegunaan peribadi.

Laporan media menyebut siasatan awal mendapati kedua-dua petugas itu dipercayai melakukan perbuatan berkenaan antara 2020 hingga 2024 dan SPRM Perlis turut menyita serta merampas barangan mewah termasuk barang kemas berjumlah kira-kira RM100,000 yang disyaki diperoleh hasil perbuatan terbabit.

Mereka direman empat hari bermula 8 Jan lepas sebelum reman terhadap pengurus akaun itu disambung lagi tiga hari hingga hari ini manakala seorang lagi telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada 11 Jan. 

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan pengurus akaun berkenaan dilepaskan dengan jaminan SPRM dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan