KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Polis akan membuat penilaian sama ada perlu menyambung tempoh reman atau melengkapkan siasatan terhadap empat individu termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran tempatan yang disyaki terbabit kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ini bergantung kepada keperluan siasatan yang dijalankan pada masa ini.
"Sekiranya siasatan kita mencukupi setakat itu, maka cukup, tak perlu sambung reman," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis Yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Semalam, tempoh reman empat individu berkenaan yang ditahan pada Jumaat lepas disambung tiga hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Mengenai siasatan terhadap Khairy Jamaluddin berhubung kenyataannya mengenai kewujudan dokumen tambahan membolehkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, Razarudin berkata ia akan dilengkapkan dalam masa tujuh hari.
“Siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara untuk diteruskan siasatan atau terdapat cadangan lain bagi siasatan berkenaan,” katanya.
Jumaat lepas, Datuk Suraya Yaacob iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nor Azrina Surip yang merupakan Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa membuat laporan polis terhadap Khairy.
Mereka mendakwa kenyataan dikeluarkan Khairy yang mengaitkan dua menteri berkenaan adalah tidak benar, memburukkan menteri, mengelirukan dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat hingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara.
Dalam pada itu, Razarudin berkata polis tidak menerima sebarang laporan mengenai dakwaan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bocor di media sosial.
“Tiada laporan dibuat dan tiada siasatan dijalankan (mengenai perkara itu),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial