JOHOR BAHRU, 14 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini menolak permohonan habeas corpus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) Nasiruddin Mohd Ali dan isterinya Azura Md Yusof yang difailkan pada Oktober tahun lepas.
Permohonan itu dibuat kedua-duanya bagi mencabar penahanan mereka mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).
Susulan keputusan tersebut, Nasiruddin dan Azura kekal berada dalam tahanan selepas permohonan mereka untuk dibebaskan serta-merta kerana ditahan secara salah itu ditolak mahkamah.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar ketika membuat keputusan itu berkata setelah meneliti hujahan lisan dan bertulis kedua-dua pihak, mahkamah mendapati isu dikemukakan oleh kedua-dua pemohon tidak berpihak kepada mereka.
"Mahkamah ini berpendapat semasa Notis Usul difailkan pada 24 Okt 2024, pemohon-pemohon tidak berada dalam tahanan SOSMA. Pemohon-pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah dikeluarkan Mahkamah Sesyen Selayang.
"Mahkamah ini berpendapat semasa Writ Habeas Corpus difailkan, pemohon tidak berada dalam tahanan salah atau tahanan tidak wajar. Pemohon berada dalam Waran Menahan yang sah," katanya.
Pada prosiding hari ini, barisan peguam pemohon diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Muhammad Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal dan Muhammad Zahier Rosli.
Peguam responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim serta Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Nur Syahidah Mohamad Khamil
Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam Majlis Peguam Malaysia Syahmi Nawawi yang memantau bagi kepentingan awam.
Sebelum ini, prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Okt lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Pada 23 Okt lepas, Nasiruddin dan Azura dilaporkan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Bandar Country Homes, Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 Sept 2024 mengikut Akta 130V (1).
Sementara itu, Rosli ketika ditemui di luar perkarangan mahkamah berkata pihaknya menerima arahan daripada anak guamnya supaya memfailkan rayuan penolakan permohonan habeas corpus berkenaan di Mahkamah Persekutuan minggu hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial