KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menolak permohonan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas agar Hakim Roz Mawar Rozain menarik diri daripada mendengar saman fitnah difailkan oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat.
Semasa membuat keputusan itu, Hakim Roz Mawar berkata terdapat satu trend tidak sihat telah muncul apabila pihak-pihak yang terlibat dalam litigasi cuba menarik diri hakim daripada mendengar kes mereka, yang boleh merosakkan keyakinan awam terhadap badan kehakiman negara.
“Seorang litigant berhak memohon supaya hakim menarik diri, tetapi permohonan itu mesti dibuat selepas mempertimbangkan kesan buruk yang mungkin timbul terhadap integriti badan kehakiman dan pentadbiran keadilan.
“Pada pendapat saya, cara permohonan menarik diri ini dibuat dan alasan yang digunakan sangat tidak berasas dan tidak masuk akal, malah boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap mahkamah,” katanya.
Roz Mawar juga menganugerah kos sebanyak RM20,000 kepada Shahrir dan menetapkan 4 Mac ini untuk mendengar permohonan Thomas bagi menangguhkan prosiding perbicaraan sehingga keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Peguam Alan Adrian Gomez mewakili Thomas, manakala Shahrir diwakil peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Thomas memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos tahun lepas, mendakwa Roz Mawar telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan dalam saman itu dan bukti yang dikemukakan di hadapan mahkamah.
Bagaimanapun, Shahrir membantah permohonan itu, dengan alasan bahawa hakim tidak seharusnya menarik diri hanya kerana Thomas tidak berpuas hati dengan alasan beliau.
Pada 3 Julai lepas, Roz Mawar menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman tersebut dan kes dijadualkan untuk perbicaraan penuh selama tujuh hari pada 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bharu itu memfailkan saman tersebut pada Disember 2023, menamakan Thomas, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan sebagai defendan.
Saman Shahrir adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima beliau daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.
Thomas, yang menjadi Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020 menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai "tidak boleh dipertahan".
Beliau berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksanakan selepas Pendakwa Raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti SPRM.
Thomas menjelaskan beliau meletak jawatan pada 28 Feb 2020, dan perbicaraan kes jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula pada 26 Julai 2022.
Pada 5 Jan 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial