Polis Didakwa Bunuh Pelajar: Kad Memori 'Dashcam' Hanya Diakses Pada 20 Dis- Saksi

14/01/2025 08:20 PM

IPOH, 14 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu kamera papan pemuka kereta (dashcam) dan kad memori Perodua Ativa yang dipandu pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak hanya diakses pada 20 Dis 2023 dan bukan sehari sebelum ia dirampas. 

ASP S. Dasarathan, 46, yang merupakan saksi pendakwaan ke-33 berkata sewaktu beliau mengambil dan mengakses kad memori berkenaan, komputer yang digunakan beliau tiada sambungan internet menyebabkan tarikh dan masa tidak dikemas kini.

“Yang arif, berkenaan isu ini, sebenarnya rakaman dashcam dan kad memori dirampas pada 20 Dis 2023 dan diserahkan kepada saya pada hari yang sama, saya mengambil kad memori tersebut (dan) telah akses kad memori tersebut pada 20 hari bulan menggunakan komputer saya.

“Komputer saya tidak mempunyai sambungan internet dan tiada kemas kini terhadap tarikh dan masa pada komputer… walaupun diakses pada 20 hari bulan, tarikh yang ditunjukkan masih 19 Dis 2023,” katanya.

Dasarathan berkata demikian apabila diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz untuk menjelaskan pernyataan beliau pada 10 Jan lepas yang memaklumkan hasil pemeriksaan dan analisis kamera papan pemuka kereta Perodua Ativa menunjukkan bahawa ia pernah diakses pada 19 Dis 2023 iaitu sehari sebelum ia dirampas.

Merujuk pernyataan saksi beliau itu, ia berdasarkan laporan analisis forensik dan hasil analisis oleh ASP Nur Fairuz Idris terhadap barang kes bertanda AC5 yang berjaya mengeluarkan 130 fail video bermula tarikh 4 Nov 2022 hingga 19 Dis 2022 dan mendapati pernah diakses pada 19 Dis 2023.

Menurut pernyataan saksi itu lagi, semakan awal oleh pihak beliau dan pihak forensik mendapati tiada sebarang rakaman berkenaan kejadian itu. Rakaman adalah setakat 19 Dis 2022 dan dari 20 Dis 2022 hingga 15 Dis 2023 tiada rakaman direkodkan.

Dalam pada itu, Dasarathan berkata kamera papan pemuka dan kad memori kereta Perodua Ativa berkenaan hanya diakses oleh beliau sahaja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman. 

Kes Mohd Nazri, 45, yang dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pada 15 Dis 2023 memasuki hari ke-22 perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet hari ini.

Mohd Nazri didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Jumaat ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan