SEREMBAN, 14 Jan (Bernama) -- Polis menahan sembilan lelaki warga tempatan kerana disyaki merompak sekumpulan pekerja kebun sayur dengan menyamar sebagai anggota penguat kuasa dan bersenjatakan parang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an ditahan pada 5.30 pagi hari ini, di lokasi kejadian di Mantin, Nilai, selepas polis menerima maklumat daripada pemilik kebun pada 12.10 tengah malam.
"Suspek didakwa menceroboh kawasan kebun itu dan merompak enam pekerja sehingga berlaku kecederaan terhadap mangsa. Polis merampas dua parang dan sebilah rotan daripada suspek," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata pihaknya turut merampas lima motosikal dan tujuh telefon bimbit.
Kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170, Seksyen 427 dan Seksyen 447 kanun sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial