KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Meskipun ditawarkan rasuah RM50,000 ketika menjalankan satu operasi membanteras penyeludupan diesel di Selangor, namun atas rasa tanggungjawab kepada negara, seorang pegawai polis dengan tegas menolak habuan berkenaan.
Berpegang kepada prinsip integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ajaran agama, Insp Mohd Tarmizi Said, 40, turut menahan individu yang cuba menyogoknya itu agar tindakan dapat diambil terhadap jenayah yang dilakukan.
Hasil usaha Mohd Tarmizi itu, kes yang berlaku pada 2023 telah dapat diselesaikan apabila suspek didakwa dan menerima hukuman penjara.
“Tiada apa yang patut saya banggakan sebab bagi saya itu adalah tanggungjawab sebagai pegawai polis yang menjalankan tugas di lapangan biar pun menghadapi dugaan-dugaan seperti ditawarkan rasuah.
“Adalah tanggungjawab saya sebagai pegawai polis untuk membanteras perkara ini dan secara tidak langsung dapat memberikan nama baik kepada pasukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara Bersama Pegawai Polis Yang Bersifat Mulia dan Budiman di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mohd Tarmizi yang kini berkhidmat di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor antara 200 pegawai dan anggota yang menerima surat penghargaan khas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain kerana tindakan pantas menyelamatkan nyawa, menolak rasuah, menghulurkan bantuan kepada masyarakat dan mempertaruhkan keselamatan diri semasa bertugas.
Terdahulu dalam ucapannya, Razarudin berkata sikap prihatin, ihsan dan ketulusan yang ditunjukkan warga PDRM ini membuktikan tohmahan dan kecaman yang sering diperkatakan masyarakat hanyalah disebabkan segelintir individu yang akhirnya merosakkan imej pasukan.
“Umpama air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam, cacian dan tohmahan yang dilemparkan kepada pasukan mengenai isu-isu berkaitan integriti khususnya rasuah, bagaikan satu tamparan yang tetap berbekas.
“Keluhuran budi warga pasukan ini perlu dicanang bagi membuka mata dan mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap pihak polis,” katanya dan berharap surat penghargaan khas ini menjadi pemangkin motivasi kepada warga polis yang lain dalam menjalankan tugas diamanahkan.
Sementara itu, seorang lagi penerima surat penghargaan khas, Lans Koperal Christopher Lawai Johny, 30, yang kini bertugas di Johor Bahru berkata kecederaan yang dialami akibat kemalangan motosikal ketika bertugas tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
Beliau berkata kemalangan itu berlaku ketika sedang menjalankan tugas di Unit Rondaan Bermotosikal (URB) semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Kluang tahun lepas yang menyebabkan tangannya patah.
“Dalam kejadian itu, ketika meronda, sebuah kereta keluar mengejut dari simpang lalu melanggar saya, menyebabkan saya terpaksa dirawat di hospital dan sehingga kini, saya tidak dapat melakukan tugasan meronda dengan motosikal seperti sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial