Ejen Insurans Kerugian Lebih RM600,000 Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

17/01/2025 11:39 AM

JEMPOL, 17 Jan ( Bernama) -- Seorang ejen insurans mengalami kerugian RM666,546 selepas terperdaya dengan tawaran skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata kejadian melibatkan lelaki berusia 61 tahun itu bermula selepas dia melihat iklan pelaburan di Facebook 27 Sept lepas yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

"Pengadu menggunakan kesemua wang simpanan hasil caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan meminjam dengan rakannya untuk menyertai pelaburan berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata sebagai permulaan pengadu membuat transaksi sebanyak RM4,220 ke dalam sebuah akaun pada 5 Okt, dan kemudian melakukan 24 lagi transaksi secara berperingkat sehingga 7 Jan lepas ke dalam lima akaun bank berbeza.

Hoo berkata mangsa bukan sahaja belum menerima pulangan, malah terus diminta memasukkan wang kononnya untuk pelbagai urusan dan ini menyebabkan warga emas itu tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan saya ingin menasihatkan supaya semak dengan pihak berkuasa sebelum melabur," katanya sambil menggesa orang ramai tidak masukkan wang tanpa mengetahui identiti individu yang berurusan dengan mereka. 

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan