KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini melepas dan membebaskan empat ahli lembaga pengarah serta seorang pengurus sebuah syarikat membaiki jentera berat yang didakwa membuang bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, lima tahun lepas.
Hakim Nor Rajiah Mat Zin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap empat ahli lembaga pengarah yang juga adik-beradik iaitu Yip Kok Wai, 58; Yip Kok Mun, 63; Yip Kok Kuin, 55; dan Yip Kok Weng, 65, serta pengurus syarikat itu Ho Voon Leong, 64, di akhir kes pendakwaan.
“Setelah mendengar keterangan saksi-saksi pendakwaan dan membuat pernilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama hingga kelima atas kedua-dua pertuduhan dihadapi mereka.
“Oleh itu, kesemua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri,” kata hakim itu.
Mahkamah turut memerintahkan wang jaminan RM400,000 bagi setiap tertuduh dan pasport mereka dikembalikan.
Dalam penghakimannya, Nor Rajiah berkata pendakwaan juga gagal membuktikan alasan kukuh menunjukkan bahan berbahaya yang dikeluarkan dari premis syarikat membaiki jentera berat itu telah menyebabkan loji rawatan air tercemar dan mahkamah mendapati tiada sampel diambil daripada loji rawatan air untuk mewujudkan kaitan secara terus dengan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dengan premis kesemua tertuduh.
"Ketiadaan bukti-bukti itu adalah kekurangan yang ketara dalam kes pendakwaan kerana ia melemahkan rantaian kesan dan akibat antara aktiviti di premis berkenaan dan penutupan loji-loji air berkenaan. Bahan buangan yang mengandungi bahan-bahan berbahaya daripada premis Yip Chee Seng & Sons tidak dikenal pasti oleh pihak pendakwaan dan sampel-sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia.
"Pegawai kimia telah menyediakan tiga laporan kimia terhadap sungai-sungai itu, namun pihak pendakwaan gagal mengenal pasti komponen-kompenan terbabit sebagai bahan berbahaya yang didakwa. Pihak pendakwaan gagal memanggil saksi yang menyediakan tiga laporan kimia untuk memberi keterangan berkenaan kewujudan komponen itu yang dikatakan bahan berbahaya. Saksi daripada Jabatan Alam Sekitar tidak dipanggil oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan berkenaan kualiti air," kata hakim itu.
Beliau berkata ujian indeks kualiti air penting untuk menentukan status kualiti air bagi membolehkan keputusan sama ada benar air berkenaan tidak boleh digunakan bagi tujuan asal.
Nor Rajiah berkata pihak pendakwaan juga gagal membuktikan keraguan munasabah bahawa kelima-lima tertuduh itu berada di premis berkenaan semasa jenayah itu didakwa dilakukan pada 2 dan 3 Sept 2020.
"Notis alibi (keberadaan lima tertuduh semasa kesalahan itu didakwa dilakukan) telah dikemukakan oleh pihak pembelaan dan ia tidak dipertikaikan oleh pendakwaan pada perbicaraan bertarikh 11 Okt 2024. Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-22 (SP22) iaitu pegawai penyiasat, notis alibi itu tidak diserahkan kepadanya sebelum beliau memberi keterangan di mahkamah.
"Akibatnya SP22 tidak melakukan apa-apa penyiasatan berkenaan notis alibi diserahkan lebih awal sebelum SP22 memberi keterangan pada 11 Okt 2024. Pihak pendakwaan mempunyai masa munasabah untuk menyiasat notis alibi itu sebelum ia dikemukakan di mahkamah,” kata Nor Rajiah.
Sebanyak 22 saksi pendakwaan memberi keterangan pada perbicaraan kes yang berlangsung selama 44 hari bermula pada 2022.
Kelima-lima lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan menyebabkan bahan buangan yang mengandungi bahan berbahaya daripada bengkel Yip Chee Seng & Sons Sdn Bhd dilupuskan ke dalam Sungai Gong dengan mengetahui bahawa ia akan menyebabkan susut bekalan air bagi minuman manusia.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis berkenaan di Kampung Sungai Dua, Rawang dekat sini antara 2 dan 3 Sept 2020 mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka turut dituduh melepaskan bahan buangan mengandungi bahan berbahaya dari bengkel sama ke dalam sungai sama tanpa lesen, di tempat dan masa serupa mengikut Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Hakimah Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Datuk M Redza Hassan dan Abdul Rashid Ismail.
Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Ho berkata keputusan hari ini merupakan hadiah Tahun Baharu Cina paling bermakna buat mereka berlima.
“Kami sangat gembira memandangkan kami telah menghadapi perbicaraan ini hampir lima tahun. Akhirnya kami dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial