Kes Bunuh Pelajar: Pegawai Polis Boleh Guna Kenderaan Peribadi Kuat Kuasa Undang-undang - Saksi

17/01/2025 04:59 PM

IPOH, 17 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa seorang pegawai polis boleh menggunakan kenderaan peribadi sewaktu menjalankan penguatkuasaan undang-undang terhadap pesalah trafik atau jenayah.

ASP S. Dasarathan, 46, yang merupakan saksi pendakwaan ke-33 bersetuju dengan perkara itu ketika menjawab pemeriksaan balas oleh peguam bela Datuk Mior Faridalathrash Wahid di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet hari ini.

Beliau juga bersetuju tiada arahan, peruntukan atau hukuman tetap oleh Ketua Polis Negara yang menghalang seorang pegawai polis untuk menggunakan kenderaan sendiri semasa menguatkuasakan undang-undang.

Mior: Setuju tak dengan saya jika saya katakan tugas dan tanggungjawab seorang pegawai polis sebagai penguat kuasa undang-undang selesai apabila dia menyempurnakan tugas dengan dia mengambil tindakan undang-undang sehingga pesalah trafik atau jenayah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang?

Saksi: Setuju

Mior: Setuju tak dengan saya ada peruntukan undang-undang yang mengatakan bahawa seorang penjawat awam yang meninggalkan daripada menangkap atau membiarkan merupakan satu kesalahan jika dia gagal mengambil tindakan?

Saksi: Setuju

Mior: Dan tuan setuju tak dengan saya ada peruntukan undang-undang mengatakan, saya merujuk kepada Seksyen 225A Kanun Keseksaaan yang mengatakan seorang penjawat awam yang meninggalkan daripada menangkap atau membiarkan orang daripada peruntukan undang-undang itu merupakan satu kesalahan jika dia gagal mengambil tindakan seperti mengikut undang-undang?

Saksi: Setuju

Selain itu, Dasarthan berkata hasil laporan ujian oleh Jabatan Alam Sekitar mendapati paras bunyi ekzos motosikal Yamaha 135 LC adalah kuat dan melebihi 100 desibel.

Beliau juga bersetuju kadar bunyi dihasilkan daripada ekzos motosikal ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, semasa hari kejadian adalah melebihi peraturan yang ditetapkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala Mohd Nazri diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman. 

Mohd Nazri Abdul Razak, 45, dituduh membunuh Muhammad Zaharif Affendi di Jalan Taman Jati 1 berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Beliau yang merupakan pegawai kanan polis didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan