KPDN Terengganu Rampas 69,500 Liter Diesel

17/01/2025 04:55 PM

CHUKAI, 17 JAN  (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 69,500 liter minyak diesel dalam dua serbuan di sini semalam.

 Pengarahnya Saharuddin Mohd Kia berkata dalam serbuan di dua lokasi berdekatan Kampung Labohan, Kerteh dekat sini, pihaknya turut merampas sebuah lori tangki dan lapan tangki gelongsor dengan anggaran keseluruhan rampasan berjumlah RM464,660.

“Serbuan yang dijalankan oleh pasukan pegawai penguat kuasa KPDN Terengganu bersama pasukan Polis Diraja Malaysia pada kira-kira 12 tengah hari semalam hasil daripada risikan selama dua minggu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lokasi itu adalah stor haram menyimpan minyak disyaki diesel tanpa dokumen kebenaran yang sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saharuddin berkata kedua-dua stor haram itu milik dua individu berbeza dan berdasarkan maklumat risikan, pemiliknya disyaki telah memindahkan barang kawalan dari satu tempat yang dilesenkan ke satu tempat tidak berlesen atau diluluskan pengawal bekalan.

Sehubungan itu, empat lelaki rakyat tempatan berumur 33 hingga 58 tahun disyaki pemilik, penjaga stor dan pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan