BUTTERWORTH, 17 Jan (Bernama) -- Sebuah kilang membuat pita pelekat di Lorong Perusahaan 1, Perai di sini musnah dalam kebakaran hari ini namun tidak melibatkan mangsa.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Endi Sherimi Mohd Adam berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.42 petang sebelum lebih 100 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai, Bandar Perda, Butterworth, Sungai Bakap, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Paya Terubong dikerahkan ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman turut dibantu 13 Pasukan Bomba Sukarela dan menurut Endi Sherimi asap hitam daripada kebakaran itu boleh dilihat sehingga jarak lima kilometer.
"Kebakaran itu melibatkan sebuah kilang setingkat dengan anggaran keluasan bangunan 6,000 kaki persegi bahagian setor, pejabat dan operasi dengan anggaran peratusan kemusnahan keseluruhan pada 8 malam ini kira-kira 60 peratus.
"Kerja-kerja pengawalan dan pemadaman dibahagikan kepada empat sektor iaitu A, B, C dan D dengan kebakaran telah dapat dikawal di bahagian C dan D membabitkan bahagian operasi dan setor manakala sektor A dan B iaitu bahagian pejabat dan makmal sedang dijalankan fire break (penyekat kebakaran)," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata pihaknya juga sedang menjalankan kerja-kerja penyejukan di bahagian stor bahan kimia melibatkan bahan kimia toluena selain aktiviti pemadaman serta overhaul (pemeriksaan menyeluruh).
Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial