JOHOR BAHRU, 21 Jan (Bernama) -- Polis Johor menerima tiga laporan terhadap pelawak dan pelakon Harith Iskander yang didakwa menghina agama Islam menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebooknya.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata laporan itu diterima masing-masing di Iskandar Puteri, Johor Bahru Utara dan Kluang.
Beliau berkata laporan itu juga melibatkan pemilik akaun Facebook di bawah nama Cecelia Yap Song KL yang didakwa memuat naik komen menghina agama Islam pada hantaran selebriti berkenaan.
"Hantaran Facebook itu dipercayai dimuat naik tiga hari lepas oleh Harith Iskander yang mengandungi gambar secawan kopi dengan kapsyen yang didakwa menghina agama," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan dengan niat melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 505(c) kanun sama kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan.
Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Kumar juga memberi amaran kepada semua pihak untuk tidak memainkan sentimen 3R (raja, agama dan kaum) di media sosial sehingga boleh membangkitkan perpecahan dan menggugat keharmonian masyarakat.
Harith Iskander didakwa memuat naik hantaran itu semasa kontroversi sandwic 'ham and cheese' yang dikatakan diragui status halalnya baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial