Lelaki, Wanita Ditahan Miliki Senjata Api Tiruan

21/01/2025 07:17 PM

SIBU, 21 Jan (Bernama) -- Seorang wanita dan lelaki dalam lingkungan umur 25 hingga 29 tahun ditahan di kedai mainan di sebuah pusat beli-belah di sini kerana memiliki senjata api tiruan semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata sebanyak 25 pucuk pistol tiruan dan 35 laras raifal tiruan dirampas dalam Op Laras oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu kira-kira pukul 2.30 petang.

“Op Laras telah dijalankan serentak di seluruh Sarawak kerana terdapat aduan serta maklumat wujudnya aktiviti menjual senjata api tiruan kepada orang awam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Zulkipli berkata perbuatan memiliki, membeli atau menjual apa-apa bentuk senjata api tiruan merupakan satu kesalahan jenayah walau atas apa alasan sekalipun.

Sabit kesalahan katanya, boleh dihukum penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis juga menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penjualan senjata api tiruan untuk menghubungi terus mana-mana balai polis yang berdekatan untuk diambil tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan