GEORGE TOWN, 23 Jan (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini telah menolak permohonaan seorang peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai sekatan dikenakan terhadap hantaran di Facebooknya pada 2024.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Anand Ponnudurai.
Menurut peguam A. Srimurugan yang mewakili peguam Dr Shamsher Singh Thind, mahkamah telah memutuskan bahawa keputusan untuk mengalih keluar hantaran Shamsher Singh telah dilakukan Facebook dan bukan MCMC, justeru ia tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.
Beliau juga berkata hakim berpendapat bahawa tindakan MCMC bukanlah 'keputusan' yang boleh dikaji semula oleh mahkamah, kerana MCMC hanya mengeluarkan permintaan untuk tindakan manakala keputusan itu dibuat oleh Facebook.
“Hakim berkata platform media sosial mempunyai kata putus dalam pengawalan kandungan, walaupun diminta oleh pengawal selia seperti MCMC,” kata peguam itu ketika dihubungi.
Pada 4 Jun, Shamsher Singh memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan permintaan pentadbiran yang menyebabkan siaran Facebooknya disekat untuk pengguna Malaysia, pada Mei 2024.
Dalam permohonannya, peguam itu mendakwa MCMC telah melanggar kebebasan bersuara dengan menyekat hantaran tersebut.
Shamsher Singh juga mahu mahkamah mengisytiharkan tindakan pengawal selia itu menyalahi undang-undang dan mahu MCMC menggugurkan ‘arahan’ kepada Facebook yang meminta hantaran itu disekat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial