JIM Terengganu Tahan 14 Pendatang Tanpa Izin

24/01/2025 10:26 AM

KUALA TERENGGANU, 24 Jan (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menahan 14 pendatang tanpa izin dalam Op Sapu dan Kutip di enam tapak pembinaan di daerah Hulu Terengganu semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Terengganu Mohd Yusri Mohd Nor berkata tangkapan itu melibatkan 12 rakyat Bangladesh, dan masing-masing seorang warga Myanmar dan Pakistan yang berusia antara 24 hingga 54 tahun.

Beliau berkata warga asing itu ditahan atas beberapa kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada pas kerja dan tiada dokumen perjalanan yang sah.

“Ketika serbuan di enam lokasi, warga asing itu sedang leka bekerja. Sebahagian daripada mereka yang menyedari kehadiran penguat kuasa cuba meloloskan diri tetapi gagal kerana kawasan berkenaan telah dikepung.

“Seramai 14 daripada 34 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri berkata kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Ajil untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan