Tujuh Suspek Keldai Akaun Ditahan Babit Kerugian Lebih RM470,000

24/01/2025 10:06 PM

BALIK PULAU, 24 Jan (Bernama) -- Polis menahan tujuh individu dipercayai ahli sindiket penipuan dalam talian menerusi operasi khas semalam yang membabitkan kerugian RM476,819.45. 

Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata mereka yang ditahan terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 35 tahun dalam operasi khas melibatkan siri tindakan Ops Nuri, Ops Merpati, Ops Belatuk dan Ops Pelican. 

"Kesemua mereka yang ditahan terdiri pekerja kilang, penghantar makanan dan penganggur yang dipercayai bertindak sebagai keldai akaun dan suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan di sekitar Sentul, Bangsar dan Serdang.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket itu menggunakan pelbagai modus operandi untuk memperdaya mangsa antaranya menawarkan pelaburan palsu, skim pekerjaan tidak wujud, penjualan barangan dalam talian yang tidak dihantar dan penyamaran sebagai pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat peribadi mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kerugian mangsa dianggarkan sebanyak RM476,819.45 dan melibatkan pelbagai transaksi kewangan seperti pindahan wang serta  pembayaran melalui akaun bank.

Kesemua suspek dipercayai menyerahkan akaun bank dan kad mesin juruwang automatik (ATM) mereka kepada sindiket sebagai balasan kepada imbuhan tertentu.

Sazalee memaklumkan tindakan itu membolehkan sindiket menjalankan kegiatan penipuan tanpa dapat dikesan secara langsung dan kesemua suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan