Op TBC JPJ Melaka: 1,135 Kesalahan Dikesan Dalam Tempoh Tiga Hari

25/01/2025 01:44 PM

MELAKA, 25 Jan (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengenal pasti sebanyak 1,135 kesalahan dilakukan pengguna jalan raya pada Operasi Tahun Baru Cina (TBC) 2025 yang bermula 20 Jan lepas.

Pengarah JPJ Melaka Muhammad Firdaus Shariff berkata setakat 23 Jan lepas, antara kesalahan tertinggi direkodkan ialah berkaitan lesen kenderaan iaitu sebanyak 460 kes, diikuti lesen memandu (298 kes) dan kesalahan teknikal (154 kes).

"Manakala lain-lain kesalahan adalah sebanyak 135 kes, sembilan kesalahan utama (42 kes), lebih muatan (36 kes) dan muatan bahaya (10 kes).

"Dalam tempoh itu juga, JPJ Melaka memeriksa sebanyak 8,451 kenderaan termasuk menyita 15 kenderaan iaitu lapan melibatkan pemandu warga asing (PeWA) dan tujuh warganegara," katanya kepada pemberita di sini malam tadi. 

Terdahulu, beliau turun padang pada pemeriksaan bas ekspress di terminal Melaka Sentral yang turut dihadiri Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata sepanjang tempoh operasi TBC 2025, sebanyak 120 anggota dan pegawai JPJ pelbagai peringkat telah ditugaskan bagi memastikan kelancaran aliran trafik dan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya di negeri ini.

Beliau berkata pihaknya juga akan meletakkan anggota di beberapa kawasan tumpuan iaitu di Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) dan Kandang.

"Sempena Tahun Baru Cina 2025, JPJ Melaka juga mempergiatkan aktiviti-aktiviti kesedaran pengguna jalan raya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan khususnya dalam negeri ini.

 "Menjelang perayaan Tahun Baru Cina, aliran trafik di jalan raya terutamanya pintu masuk dan keluar akan mula menunjukkan peningkatan, justeru pesanan saya kepada semua pengguna jalan raya, utamakan keselamatan dan patuhi undang-undang jalan raya," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan