JOHOR BAHRU, 28 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai polis berpangkat ASP mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM75,000 pada 2022.
Mohd Khairul Saberi Nyan, 41, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Khairul Saberi selaku pegawai polis yang bertugas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor didakwa meminta suapan RM50,000 daripada seorang lelaki di pejabat jabatan berkenaan kira-kira 6 petang, 12 Okt 2022.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, dia didakwa menerima suapan sebanyak RM10,000 dan RM15,000 daripada individu sama masing-masing di sebuah restoran di Seri Alam pada 9 malam, 5 Dis 2022 dan di sebuah stesen minyak di sini, pada 2 petang, 14 Dis 2022.
Semua perbuatan itu didakwa dibuat sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes dihadapi individu berkenaan membabitkan tawaran perniagaan jual beli minyak diesel yang tidak wujud.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperoleh dan setuju menerima rasuah membabitkan RM5,000, tahun lepas.
Michael Anak Umap, 50, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) didakwa memperoleh bagi dirinya RM1,000 ke dalam akaun bank miliknya daripada seorang wanita di sebuah bank dekat Kluang.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM4,000 daripada wanita berkenaan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, pada 4.45 petang.
Kedua-dua perbuatan yang didakwa dilakukan pada 25 Ogos 2024 itu adalah sebagai dorongan bagi membantu mengurangkan hukuman terhadap bekas suami wanita itu yang sedang disiasat BSJ IPD JBS.
Pendakwaan terhadap kedua-dua anggota polis itu dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Kedua-dua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Asmah Zainal Ariffin dan Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Atuffah Said.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Khairul Saberi diikat jamin sebanyak RM12,000 manakala Michael diikat jamin RM7,000.
Mereka turut dikenakan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport antarabangsa ke mahkamah dan lapor diri di Pejabat SPRM Johor sebulan sekali.
Kedua-dua ditetapkan untuk sebutan semula pada 13 Mac depan bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial