SUNGAI BESAR, 28 Jan (Bernama) -- Lapan warga Taiwan dan seorang rakyat tempatan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dua jenis dadah berbahaya seberat 489.7 kilogram (kg) pada 16 Jan lepas.
Warga Taiwan itu, Lee Chi-Nan, 29, Lin Chung-Hsien, 32, Fan Ming-Che, 34, Chu Shao-Hsien, 42, serta Chou Chun-Hao, Hong Sheng-Bao, Liu Kuang-Hui dan Tseng Yi-Chia masing-masing berusia 31 tahun manakala rakyat tempatan ialah Low Kian Ming, 49.
Mereka mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan dan tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Kesemua lelaki itu didakwa bersama-sama melakukan perbuatan sebagai persediaan bagi tujuan mengedar dadah berbahaya, iaitu ekstasi anggaran berat 183.7 kg dan Erimin 5 anggaran berat 306 kg di Taman Industri Alam Jaya 2, Bandar Puncak Alam di Kuala Selangor pada 2.20 petang, 16 Jan.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Kesemua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak lebih 12 kali jika tidak dihukum dengan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 21 April 2025 untuk sebutan semula kes dan penyediaan laporan kimia.
Media pada 19 Jan melaporkan polis telah membongkar kegiatan sebuah makmal pemprosesan dadah yang dipercayai didalangi sindiket antarabangsa, menerusi tiga serbuan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 16 Jan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan, 10 lelaki dan seorang wanita warga asing berumur 20 hingga 50 tahun dalam serbuan itu, dan merampas pelbagai jenis dadah serta senjata api yang semuanya dianggarkan bernilai RM120 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial