KUANTAN, 28 Jan (Bernama) -- Polis akan meningkatkan pemantauan di kawasan yang kerap berlaku kemalangan atau 'black spot' di daerah Lipis melalui Ops Selamat 23 sempena Tahun Baharu Cina, bermula hari ini hingga 2 Feb.
Ketua Polis Daerah Lipis Supt Ismail Man, menasihatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan diri dan keluarga semasa berada di jalan raya, selain mematuhi peraturan serta undang-undang lalu lintas yang ditetapkan.
Beliau berkata terdapat lima kawasan kerap berlaku kemalangan iaitu KM17 Jalan Lipis-Benta (JPJ Benta), KM25 Jalan Lipis-Benta (Bulatan Benta), KM5 Jalan Lipis-Merapoh (Dewan Laman Qaseh, Kampung Tempoyang), KM7 Jalan Lipis-Merapoh (Depan IPG Lipis), dan KM18 Jalan Lipis-Merapoh (Kampung Selendang).
Selain itu, tiga kawasan yang sering mengalami kesesakan dikenal pasti sebagai KM5 Jalan Lipis-Benta (sekitar Taman Emas), KM26 Jalan Lipis-Merapoh (Kampung Seberang Jelai), dan KM55 Lingkaran Tengah Utama (sempadan Merapoh-Gua Musang).
"Pemantauan aliran trafik di lokasi yang menjadi fokus utama diadakan bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan langkah tersebut adalah sebagai usaha mengurangkan serta meminimumkan kes kemalangan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata seramai tiga pegawai kanan dan 20 pegawai rendah ditugaskan sempena Op Selamat 23.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial