BUTTERWORTH, 31 Jan (Bernama) – Kegiatan penyeludupan dan penjualan senjata api yang membawa kepada penahanan empat lelaki bersama lima pucuk pistol, selaras senapang M4, serta 801 butir peluru dalam sebuah bot di perairan Perai, pada Isnin lepas disyaki mempunyai kaitan dengan geng kongsi gelap.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad, berkata dapatan itu berdasarkan siasatan terperinci yang dijalankan susulan penahanan empat lelaki tersebut, termasuk dua warga Indonesia.
"Polis percaya bahawa kes ini melibatkan rangkaian lebih besar, namun saya tidak dapat mengulas secara terperinci buat masa ini kerana siasatan masih dijalankan.
"Apa yang boleh saya maklumkan ialah ia melibatkan beberapa organisasi geng kongsi gelap di negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Advokasi sempena Op Selamat 23/2025 Tahun Baharu Cina Kontinjen Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua, arah selatan, hari ini.
Menurut Hamzah, pihaknya telah mengenal pasti rangkaian sindiket antarabangsa yang terlibat dalam penyeludupan senjata api itu, dan usaha mengesan anggota sindiket sedang giat dijalankan.
Hamzah turut memaklumkan bahawa siasatan terperinci sedang dijalankan terhadap empat suspek yang ditahan bagi melengkapkan kertas siasatan.
"Pihak polis juga memperluas skop siasatan dengan melibatkan kawasan yang lebih besar kerana kes ini turut membabitkan sindiket dari dua negara jiran, iaitu Thailand dan Indonesia.
"Buat masa ini, kami sedang menyusun strategi siasatan secara rapi untuk memastikan semua elemen yang diperlukan lengkap, termasuk mengumpul keterangan yang boleh mengukuhkan kes," jelasnya.
Beliau berkata bahawa pihaknya telah mengenal pasti sebahagian daripada rangkaian sindiket tersebut, termasuk yang beroperasi di Malaysia dan luar negara.
Isnin lalu, Polis Pulau Pinang menahan empat lelaki, termasuk dua warga Indonesia, serta merampas lima pucuk pistol, selaras senapang M4, dan 801 butir peluru dalam sebuah bot yang dikesan di perairan Perai, kira-kira satu batu nautika dari Barat Daya Sungai Perai.
Hamzah berkata bertindak atas maklumat dan risikan, Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Batu Uban telah menahan dua bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran yang mencurigakan pada 3.10 petang.
Empat suspek yang ditahan terdiri daripada dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga Indonesia, berusia antara 22 hingga 57 tahun.
Pemeriksaan lanjut menemukan lima pucuk pistol, iaitu dua berjenama Sig Sauer bersama tiga kelopak peluru, dua berjenama Glock (dua kelopak), satu jenama Smith & Wesson bersama satu kelopak, serta selaras senapang M4.
Selain itu, polis turut merampas 600 butir peluru M4, 200 butir peluru 9mm, serta sebutir peluru jenis S&B dalam bot yang dinaiki oleh dua suspek warga Indonesia.
Siasatan awal mendapati senjata api dan peluru tersebut dipercayai diseludup masuk dari Thailand melalui laluan laut untuk pasaran gelap di Malaysia.
Kesemua suspek yang bekerja sebagai nelayan itu direman selama tujuh hari sehingga 3 Feb bagi membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial