KUANTAN, 31 Jan (Bernama) -- Seorang juruteknik di sebuah kilang mengalami kerugian lebih RM200,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja sambilan menerusi dalam talian tahun lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa lelaki berusia 48 tahun itu telah berminat dengan tawaran perniagaan dropship pakaian yang ditawarkan suspek menerusi satu aplikasi pada 14 Dis.
Beliau berkata mangsa seterusnya telah beurusan dengan suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum diberikan satu alamat laman sesawang bagi tujuan menjalankan perniagaan itu.
"Mangsa kemudiannya telah membuat 14 kali pindahan wang menggunakan duit simpanan dan pinjaman bank ke lapan akaun berlainan berjumlah lebih RM200,000 untuk menjalankan perniagaan tersebut.
“Namun, dia mula menyedari diperdaya setelah diminta membuat bayaran tambahan sebanyak RM20,000 untuk mengeluarkan keuntungan sebanyak US$60,000," katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau menasihatkan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan lumayan dan membuat semakan nombor akaun diterima terlebih dahulu di semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial