Mahasiswa Rugi Lebih RM100,000 Terpedaya Sindiket "Phone Scam"

01/02/2025 02:01 PM

KUANTAN, 1 Feb (Bernama) -- Seorang mahasiswa kerugian dianggarkan RM147,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pihak Shopee dan pegawai polis, bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 20 tahun itu menerima panggilan telefon kononnya daripada pihak platform e-dagang tersebut yang memaklumkannya telah mengiklankan barangan menyalahi undang-undang, pada 23 Jan lepas. 

Beliau berkata panggilan telefon mangsa kemudian disambungkan kepada pegawai polis dan diberitahu turut terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Suspek meminta lelaki membuat pemindahan wang bagi mengelakkan ditangkap dan membersihkan rekod daripada kes jenayah. Mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak RM47,000 ke tiga akaun berbeza.

“Selain itu, mangsa turut menyerahkan barang kemas milik emaknya yang dianggarkan bernilai RM100,000 kepada seorang perempuan tidak dikenali berhampiran kawasan perumahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Yahaya berkata mangsa mula menyedari ditipu apabila ibunya mempersoalkan kehilangan barangan kemas miliknya serta kekurangan wang simpanan dalam akaun banknya. 

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan sebarang dakwaan menerusi panggilan telefon individu tidak dikenali, sebaliknya semak dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan