Pembantu Tadbir Kewangan Ditahan Buat Tuntutan Palsu RM20,000

04/02/2025 10:23 PM

KOTA KINABALU, 4 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pembantu tadbir kewangan sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi penginapan hotel berjumlah RM20,000.

Suspek lelaki berusia 30-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM di sini, kira-kira 10 pagi hari ini.

Menurut sumber, suspek disyaki mengemukakan 23 resit palsu bagi tuntutan penginapan hotel atas nama empat individu sedangkan kesemua penama berkenaan tidak pernah menginap di hotel terbabit. 

“Resit palsu ini menggunakan nama beberapa hotel beroperasi di negeri ini.

“Suspek juga dipercayai menggunakan aplikasi dalam talian bagi menghasilkan resit palsu yang terlibat dalam tuntutan tersebut,” menurut sumber itu.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu esok.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan